Aku renung rintik-rintik hujan yang mulai lebat menyimbah bumi. Aku duduk di birai jendela. Pandanganku jauh ke taman di belakang rumah. Semuanya telah berubah. Dulu, padi menghijau, kicauan burung sentiasa menjadi muzik di telinga, kelihatan bangau terbang ke hulur ke hilir mencari isi perut. Kini, tiada lagi sawah padi, tiada lagi kawasan lapang. Semuanya taman perumahan. Aku rindukan saat dulu. Saat aku dan adik-adik berkubang dalam sawah. Memancing ikan. Menjala. Itu semua dulu. Kemudian, ku lirikkan mataku ke satu sudut. Hatiku berdegup kencang. Terimbau kembali kenangan 4 tahun dulu. Ya, 4 tahun. Tidaklah terlalu lama berlalu bagi sesetengah insan, tapi bagi aku, 4 tahun merinduinya terasa bagaikan selamanya. Ya, selamanya. Begitu lama.

Dia, insan yang tak pernah aku duga akan hadir dalam hidupku. Insan yang tak pernah ku sangka akan berikan cinta yang mampu ku rasai hingga ke detik ini. Insan yang mungkin tak pernah berhenti mencintaiku. Sayang, aku terlalu buta untuk menghargainya saat itu. Andai dapat ku undur masa.

Perkenalan yang singkat antara aku dan dia mula menerbitkan bibit-bibit cinta. Aku bukanlah gadis yang mampu menemaninya setiap masa. Ya, aku jarang keluar rumah. Ya, aku tak pandai bersosial. Tapi, dia terima aku seadanya. Hari ke hari, hubungan kami makin rapat. Segala masalah akan kami kongsi bersama.

Aku tak pernah lupa kali pertama kami bersua muka. Bertentang mata. Dia kacak. Cukup kacak di pandangan mata seorang gadis. Tak pernah aku lupa saat pertama dia renung tajam ke dalam mataku. Jantung berdegup pantas. Terasa adrenalin sampai ke puncaknya. Coklat cair. Warna anak matanya. Kurniaan Allah SWT, sangat sempurna bergandingan dengan kulitnya yang cerah dan rambut hitam keperangan. Ya, aku jatuh cinta.

Mungkin saat itu aku mencintai rupa parasnya. Entahlah. Mungkin ya. Mungkin tidak. Tapi, dia tak pernah jemu meraih cintaku. Menggembirakanku. Setiap hari Rabu, kami selalu meluangkan masa bersama. Di mana? Di taman yang sedang ku renung ini. Hanya satu-satunya tempat yang aku jejak bersama dia. Dulu, kawasan ni sedang giat dibangunkan dengan rumah-rumah banglo dua tingkat. Kami tidak pernah bergandingan tangan menonton wayang, bersiar-siar di kompleks membeli belah mahupun ke mana-mana sahaja seperti pasangan kekasih yang lain. Bukan dia tidak pernah mengajak tapi aku yang sering menolak. Aku ada alasanku. Tak perlulah aku jelaskan di sini.

Bermulanya dengan pertemuan kedua, dia akan datang bersama keropok-keropok dan air. Mini picnic katanya. Kadangkala aku tersenyum sendiri teringat peristiwa tu. Mini picnic di taman permainan di sebelah sawah padi? Kenangan manis. Mungkin 'low-class' bagi sesetengan orang. Mungkin juga kelakar. Tapi bagi aku, itu kenangan aku dan dia.

Aku tahu dia kurang rapat dengan keluarganya. Masalah keluarga katanya. Jadi dia lebih senang bersama kawan-kawannya dan juga aku. Di sebabkan hal ni, aku kenal dua,tiga orang rakannya. Kadang-kadang kawan-kawannya akan bersama turut serta dalam 'mini picnic' kami.

Masa bergerak ligat. Pantas. 12.12.2007. Rabu. Kami berbual seperti biasa. Gembira dan bersuka ria. Raya haji bakal menjelang tiba. Dia akan beraya di sini pada hari raya pertama. Bersama rakan-rakannya. Bersama aku. Kemudian, dia ajak aku balik kampung bersamanya. Sekejap. Tidak lama, cukuplah untuk memperkenalkanku kepada orang tuanya. Aku bantah. Aku masih belum bersedia. Aku masih muda. Mentah. Dia akur. Memujuk aku yang merajuk. Dia mengajak aku ke muzium padi. Melihat galeri gambar dan mural. Aku bantah lagi. Kali ni dia bersungguh, berkeras. Kami bertengkar. Ya, hubungan kami mulai hambar.

Seminggu berlalu. 19.12.2007. Rabu. Dia lewat datang. Aku baru sahaja mahu melangkah pulang dengan muka masam mencuka. Setengah jam. Alasannya, ada hal dengan kawan. Traffic light pula merah sepanjang jalan. Aku tahu dia bercakap benar. Sengaja tak aku endahkan. Mahu mendera rasa hatinya mungkin. Hari ni dia datang dengan tangan kosong. Tak sempat ke kedai takut terlewat sampai. Aku tak kisah tentang itu. Dia memujukku, katanya dia takkan ajak aku ke mana-mana lagi. Cukuplah semua ini. Seminggu hubungan yang hambar. Dia minta aku senyum dan gembira seperti sedia kala. Aku pelik. Tapi tak aku turuti kemahuannya. Dia merayu memujuk. Aku tak peduli. Entah kenapa aku begitu. Tiba-tiba dia menuding jari ke belakang. Aku pusing. Ya, itu ibuku. Kantoi akhirnya. Selama ni kami bertemu tanpa pengetahuan keluargaku. Aku kaget. Ibuku menyuruh aku pulang. Bait-bait kata terakhir sewaktu kami bersua muka untuk yang terakhir kalinya.

Dia : Nanti kita jumpa lagi. I love you, sayang.
Aku : I tak nak jumpa you dah. Sampai bila-bila. 

Apa yang aku ucapkan tak pernah terlintas di fikiranku apatah lagi di hati. Kemana hilangnya akal warasku tika itu? Di kuasai nafsu amarah yang entah untuk apa dan untuk siapa. Aku terkilan hingga saat ini.

Malamnya, dia cuba memujukku. Berjanji akan datang bertemu keluargaku esok harinya. Ya, hari raya.

20.12.2007. Khamis. Hari Raya Aidiladha. Walaupun hati ditawan rajuk. Aku tetap menanti dia. Menanti dan terus menanti. Dari pagi hingga petang. Aku mula tak sedap hati. Resah gelisah. Tatkala jam  hampir menginjak ke angka 7. Telefonku berdering. Nombor dia tertera di skrin. Aku angkat.

" Awak, saya nie, kawan Dia. Dia dah tak ada. Accident petang tadi. Awak sabar yer. Awak nak saya datang ambik awak tak? Kita pergi ziarah jenazah dia untuk kali terakhir..Awak..Awak... "
"Tak payah."

Lantas aku memutuskan talian. Aku buntu. Terasa duniaku kosong. Tak. Ini semua tak mungkin benar. Aku tak dapat menerima pemergiannya.

Seminggu aku gunakan untuk mengumpul semula kudratku. Aku simpan semuanya sendiri. Aku pendam dalam hati. Kadang-kadang aku terasa seolah-olah dia berada di sampingku. Kadang-kadang aku menangis sendiri. Kadang-kadang aku teringat kenangan kami bersama. Pertengkaran kami. Keinginan dan permintaan dia. Ya, muzium padi. Kalaulah aku tahu itu permintaan terakhirnya, akan aku tunaikan. Andai aku tahu bila hari terakhir kami bersua muka, tidak akan aku lemparkan dia dengan kata-kata lara. Bodohnya aku. Menghargai dia bila dia sudah tiada.

Setiap kali teringat dia. Kelopak mataku bergenang. Air mata berlinangan.

Sayang, I love you. Maafkan I. Mungkin sudah terlambat untuk I sedar betapa I cintakan you. Betapa you begitu berharga dalam hidup I. Betapa sayang dan kasihnya I pada you. I rindukan you, sayang. Rindu sangat. Maafkan I atas segala kata-kata dan perlakuan I yang selalu sakitkan hati you. I tak tahu bagaimana harus I luahkan cinta I kat you. I tak se romantik you. I tahu I tak pernah hargai you sayang. Sekali lagi I minta maaf. Kadang-kadang you hadir dalam mimpi I. You tersenyum gembira. I doakan you bahagia, gembira kat sana. I tau I dah tak mampu buat apa-apa untuk you lagi. I tak mampu tunaikan impian, keinginan dan kemahuan you. Sayang, dari dunia ni I hanya mampu sedekahkan al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran untuk you di sana. Terima kasih mengajar I erti cinta. Maafkan segala keterlanjuran I. Mungkin tiada jodoh kita di dunia. I harap I akan jadi bidadari you di akhirat kelak. I relakan you pergi sayang. I terima perpisahan kita. Perpisahan di Aidiladha. Pengorbanan cinta kita untuk I relakan you pergi dahulu menemui Pencipta kita.
Bait-bait kata ini aku coretkan dalam diari yang aku simpan kemas hingga kini. Setelah aku mampu menerima pemergiannya menemui yang Maha Esa.

Takbir raya berkemundang lagi. Ketupat dan serunding telah terhidang di atas meja. Aku kesat air mataku. Aku berlalu ke ruang tamu berkumpul bersama keluarga untuk pergi menunaikan solat sunat hari raya.  Walaupun 4 tahun telah berlalu, air mataku masih lagi berlinangan saat aku merinduinya.

Andai cinta, hargailah mereka. Jangan jadi sepertiku. Terlambat untuk menyedari kehadiran cinta di depan mata.

Sekian saja.

0 comments:

Post a Comment

Sepatah dua kata...

 
Copyright CIK ANIS MANIS